Monday, July 14, 2008

Gerakan Mansuh ISA serah memorandum pada Ketua Pembangkang


Anis Nazri

Wed Apr 30, 08 8:23:41 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Bagi meneruskan kempen membebaskan semua tahanan ISA dan memansuhkan akta itu, GMI hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, di lobi Parlimen, hari ini.

Memorandum bersama Biro Hak Asasi Majlis Peguam itu diserahkan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan wakil Majlis Peguam, Amir Hamzah sempena kempen bebaskan tahanan enam tahun ISA yang dilancarkan GMI sebelum ini.

Menurut Syed Ibrahim, memorandum ini bertujuan mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat, sekaligus BN juga bagi menuntut kerajaan agar memansuhkan akta itu ataupun membicarakan semua tahanan yang kini mencecah 70 orang.

"Tujuan ini adalah untuk menggesa semua pihak, khususnya di Parlimen baru, dengan wakil Pakatan Rakyat, yang mana 11 daripada 83 ahli parlimen (MP) adalah bekas tahanan ISA," kata beliau.

Sementara itu, GMI turut menyerahkan lencana 'Malaysia Bebas Dari ISA' kepada Wan Azizah untuk diserahkan kepada MP Pakatan Rakyat dan BN untuk dipakai sepanjang masa sebagai tanda sokongan bagi memansuhkan akta tersebut.

Wakil Majlis Peguam, Amir Hamzah berkata pihaknya berharap semua MP akan memakai lencana ini sepanjang berada di parlimen dan juga di luar parlimen.

"Kita akan beri juga kepada MP BN. Kalau mereka pakai, Alhamdulillah. Jika tidak (memakainya), tandanya mereka akan bertanggungjawab atas kezaliman ini," tegas beliau.

Sementara itu, Wan Azizah selepas menerima memo berkenaan berkata akta seperti itu tidak sepatutnya ada di dunia kerana penahanan itu tiada sebarang perbicaraan dan bukti kukuh yang disabitkan bersama.

"Letakkanlah diri anda jika ada di kalangan sanak saudara anda ditahan di bawah akta ini. Sanggupkah anda merasai derita yang ditanggung keluarga ISA ini, yang mana sudah ada yang ditahan selama lebih enam tahun?" soal Wan Azizah.

Beliau turut meminta media agar melaporkan dan tidak 'menyembunyikan' fakta mengenai ISA ini agar rakyat mengetahui kezaliman akta ini.

Turut sama dalam majlis penyerahan memorandum ialah isteri tahanan ISA, Norlaila Othman, isteri kepada MP Kota Anggerik, yang juga tahanan ISA, Pushpaneela dan adik kepada V Ganabatirau.

Wan Azizah, kemudiannya menyerahkan lencana tersebut kepada beberapa MP, termasuk Dato' Seri Nazri Aziz, Dato' Sharir Samad, Dato' Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin.

Antara MP Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ir Khalid Samad (Shah Alam), Dr Lo' Lo' Ghazali (Titiwangsa), Dr Mariah Mahmud (Kota Raja), Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Dr Hayati Osman (Pendang), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Tian Chua (Batu), Sivarasa Rasiah (Subang) dan Fuziah Salleh (Kuantan).

Turut hadir Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh. - mks.

No comments: